KUALA LUMPUR 28 Feb. - Penyedia rumusan pembayaran GHL Systems Bhd. merancang mengembangkan operasinya di China dengan membuka pejabat-pejabat baru di lapan bandar raya tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan Tay Beng Lock hari ini.
Pada masa ini, syarikat mempunyai pejabat di Beijing dan sebuah kemudahan penyelidikan dan pembangunan kecil di Wuhan, kata beliau.
Selain China, syarikat itu mempunyai pejabat-pejabat di Thailand, Filipina dan Singapura.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah peraduan “Bayar & Menang” syarikat di sini hari ini, Tay berkata GHL Systems menjangkakan perniagaan seberang lautnya akan menyumbang 50 peratus kepada jumlah dagangan menjelang tahun 2009.
Perniagaan seberang laut menyumbang 17.8 peratus kepada jumlah dagangan syarikat tahun lepas dan 10.8 peratus dalam tahun 2005, kata beliau.
Mengenai rancangan pengembangan syarikat di China, Tay berkata, GHL Systems akan bekerjasama dengan sebuah bank tempatan di China bagi mengembangkan lagi perniagaan syarikat di sana.
GHL Systems ialah penyedia pembayaran akhir-ke-akhir di Asia Pasifik yang menyediakan infrastruktur, perkhidmatan dan teknologi pembayaran.
Portfolio rumusan pembayaran termasuklah laluan dan penumpu urus niaga, enkripsi talian terminal, teknologi, rumusan pembayaran dalam talian dan kesetiaan, teknologi kad pintar sehinggalah ke perkhidmatan perundingan.