GHL Systems yakin perolehan luar negara lebih 50 peratus


Berita Harian

GHL Systems Bhd (GHL Systems), mensasarkan lebih 50 peratus daripada pendapatannya akan disumbangkan perniagaan luar negara menjelang 2009.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tay Beng Lock, berkata ketika ini perniagaan di luar negara hanya menyumbang antara 15 hingga 20 peratus kepada pendapatan syarikat kerana GHL baru saja melebarkan sayap perniagaannya ke Asia Tenggara dan China, tahun lalu.

“Pemindahan penyenaraian GHL Systems dari Pasaran Mesdaq ke Papan Utama Bursa Malaysia bertujuan mengumpul modal untuk memperluaskan penerokaan ke luar negara.

“Penerimaan produk penyelesaian pembayaran seperti pembaca kad kredit tanpa sentuhan yang digunakan Visa dan Mastercard mengukuhkan kredibiliti kami dan memudahkan penerokaan kami di pasaran antarabangsa,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan penukaran status penyenaraian GHL Systems daripada pasaran Mesdaq kepada papan utama Bursa Malaysia.

Turut hadir Pengerusi GHL Systems, Tuanku Abdul Malek Tuanku Kassim dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan GHL Systems, Yeng Fook Ho.

GHL menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk memindahkan penyenaraian ke Papan Utama Bursa Malaysia selepas memenuhi syarat ditetapkan, termasuk mencapai keuntungan bersih terkumpul lebih RM30 juta lebih lima tahun serta memiliki modal saham bernilai RM60 juta.

Antara projek GHL Systems yang dilaksanakan ialah penyediaan terminal pembayaran kad kredit Visa dan Mastercard tanpa sentuhan di negara ini.

GHL Systems turut terbabit menyediakan laluan pembayaran menerusi Internet kepada Air Asia.

Ia menyediakan penyelesaian pembayaran bagi kad kredit, kad debit, kesetiaan, perubatan dan simpanan nilai menerusi terminal elektronik bagi pedagang dan kedai runcit di seluruh negara bagi menggalakkan urus niaga menggunakan perdagangan elektronik.

Tay berkata, penyelesaian pembayaran yang ditawarkan GHL Systems turut menarik minat banyak pihak di luar negara terutama di Thailand, Filipina dan China.

“Produk GHL semakin diterima dengan baik di luar negara. GHL Systems yakin untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa terutama syarikat yang sudah bertapak lama dalam bidang penyelesaian pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, GHL Systems melabur RM3 hingga RM5 juta bagi penyelidikan dan pembangunan bagi menambah nilai terhadap produk yang dihasilkan.